REPLIKA - Eurofighter Typhoon - kosmo |
Sebuah replika bersaiz sebenar pesawat tempur Eurofighter Typhoon dikerumuni orang ramai yang ingin melihat dan merasai pengalaman berada di dalam kokpit pesawat tersebut.
Pertunjukan replika tersebut adalah bersempena Pameran Pertahanan perkhidmatan Asia ke-13 yang diadakan dua tahun sekali di PWTC, Kuala Lumpur.
Syarikat Bae Systems adalah syarikat yang bertanggungjawab
membina pesawat itu kerana agak mustahil membawa Typhoon yang sebenar kerana ianya sangat mahal dan
tiada ruang landasan yang luas untuk mendarat.
Jika dilihat dari segi luaran, kebanyakan orang berpendapat ia sama
seperti pesawat pejuang lain, tetapi jika dibandingkan secara terperinci
banyak perbezaannya.
Saiz sebenar Typhoon adalah berukuran 16 meter panjang, lima meter tinggi dan sayap sepanjang 11
meter serta memiliki sistem enjin yang tahan lasak dan dilengkapi
dengan pelbagai peralatan elektronik.
Sebuah pesawat pejuang harus mudah melakukan banyak pergerakan
berbanding pesawat komersial yang terbang pada pergerakan sehala
terutama ketika berada dalam pertempuran berkelajuan tinggi.
SUT - G
Sut-g yang direka khas untuk pemandu Typhoon akan memberi mampatan
kepada dada juruterbang sebagai tindak balas terhadap daya graviti kuat
yang terhasil ketika pesawat menukar laluan.
Ketika mampatan, udara secukupnya dipaksa masuk ke dalam paru-paru
pada tekanan yang tepat supaya juruterbang dapat bernafas secara normal.
Rekaan sut-g yang tepat amat penting kerana tekanan sebanyak sembilan
kali graviti boleh menyebabkan juruterbang pengsan. Jika sut-g biasa
digunakan pun, juruterbang sukar untuk berada dalam keadaan sedar
sepanjang penerbangan.
Bagi juruterbang yang tidak memakai apa-apa perlindungan ketika
berada di dalam pesawat yang boleh mencapai kelajuan super sonik itu,
darah boleh terus mendidih.
Sut-g Typhoon juga mempunyai sistem kawalan suhu cecair bagi
memastikan suhu badan juruterbang berada dalam keadaan optimum untuk
memberi konsentrasi maksimum.
Kesemua ciri-ciri tersebut membolehkan Typhoon diterbangkan pada
semua keadaan sama ada pada altitud rendah atau tinggi mahupun ketika
cuaca panas membahang di padang pasir.
TEKNOLOGI
Typhoon memiliki sistem Quadro
Plex yang dapat mengoptimum pengendalian pesawat selain memudahkan ia
diterbangkan. Ia turut dilengkapi dengan sistem Avionic.
Sistem Avionic ialah sistem elektronik yang terdapat dalam sesebuah
pesawat. Ia meliputi teknologi radar, infra merah dan pertahanan.
Eurofighter Typhoon adalah sebuah rekaan yang menggabungkan bahan
ringan dan kekuatan selain reka bentuk yang tepat serta jitu. Ia boleh
terbang pada ketinggian 6.4 kilometer lebih tinggi berbanding pesawat
penumpang.
Memiliki berat sebanyak 15,880 kilogram, dua buah enjin Eurojet
Typhoon boleh menghasilkan daya tujah lebih kurang 18,140 kilogram.
Juruterbang boleh menghentikan pesawat tersebut yang berada dalam
kelajuan 1.4 mach dalam tempoh masa 2.5 minit sahaja di antara jarak 10
kilometer.
Nombor mach adalah kadar perbandingan antara kelajuan pesawat pejuang
dan tahap kelajuan bunyi. Secara ringkas, Typhoon dapat meluncur pada
altitud tinggi dengan kelajuan dua kali ganda halaju bunyi.
Jangka hayat pesawat buatan Eropah itu membolehkan ia beroperasi dengan baik untuk tempoh antara 30 hingga 40 tahun.
RINGKASAN
Mula dibangunkan pada pertengahan dekad 90-an, sebanyak 300 buah
Typhoon telah berada di angkasa dan dimiliki oleh enam buah negara iaitu
Jerman, Itali, Sepanyol, United Kingdom, Austria dan Arab Saudi.
Lebih kurang 400 buah Typhoon lagi kini dalam proses pembuatan di
Eropah, manakala Malaysia telah memesan 18 buah Typhoon untuk kegunaan
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Read more...