Nov 11, 2011

Sejarah Islam Buka Hatinya Dekati Islam

SEBELUM mengenal dan memeluk Islam, Abdullah Drury hidup di tengah-tengah keluarga yang menganut pelbagai aliran dan mazhab dalam Kristian.

Ibunya menganut aliran Jehovah Witness. Bapanya pula seorang Khatolik. Seorang daripada bapa saudaranya penganut Apostolic dan beberapa anggota keluarga yang lain pula penganut Kristian Anglican.

Meskipun begitu, Drury yang berasal dari New Zealand dibesarkan dalam atmosfera yang toleran yang tidak menghalang beliau untuk mengenali apa juga bentuk agama lain.

Terutama pada era tahun 1990an minat Drury terhadap Islam tumbuh segar sejak saat mula beliau mengambil jurusan sejarah ketika melanjutkan pengajian di universiti.

"Begitu sahaja saya mula menyentuh apa sahaja mengenai sejarah pasti ada kaitan dengan Islam, sama ada dari aspek agama Islam itu sendiri.

"Mahupun sejarah yang ditempuhi oleh agama itu tanpa mengira di mana sahaja. Malah ke mana pun saya pergi, saya selalu bertemu dengan Islam. Semua ini membuatkan saya semakin tertarik terhadap Islam," ujar Drury.






Sejak itu tiada perkara lain yang dilakukan oleh Drury di masa lapang kecuali membaca dan terus membaca mengenai Islam.

Banyak buku-buku mengenai Islam habis dibacanya satu persatu. Hasilnya membuatkan beliau begitu yakin dan percaya bahawa Islam adalah agama yang benar.

Maka langkah beliau seterusnya ialah melafazkan dan mengucap dua kalimah syahadah sebagai tanda rasmi memeluk Islam.

Ia adalah langkah Drury yang paling tepat yang pernah dilakukannya sejurus hatinya terbuka untuk menerima agama itu.

Pada Ogos 1996, beliau ditemani dan dibimbing oleh dua tokoh Muslim yang terkemuka di New Zealand bertempat di Bandar Hamilton, iaitu Dr. Mustafa Farouq dan Dr. Anis Ar Rahman serta disaksikan oleh beberapa umat Islam yang lain, Drury akhirnya tanpa kekok malah lancar melafazkan dua kalimah syahadah.

Oleh kerana Drury tidak pernah berahsia mengenai minat mendalam terhadap Islam, malah sering berkongsi minat itu dengan ramai orang terutama ahli keluarga, maka tidak ada pihak yang memandang negatif apatah lagi menentang beliau memeluk Islam itu.

"Rasanya tiada siapa pun yang terkejut. Malah mereka telah menjangka pastinya saya akan memeluk Islam. Alhamdulillah semua ini membuatkan mereka masih menerima saya dengan baik." ungkap Drury.

Ini membuatkan beliau rasa sangat beruntung dan bersyukur berbanding ramai mualaf yang menerima pelbagai reaksi negatif dan ditentang hebat dari ahli keluarga dan anggota masyarakat apabila mendapat tahu telah keluar dari agama asal mereka.

"Setiap kali saya pulang ke rumah ibu saya misalnya, pasti ibu menyediakan hidangan yang halal dengan membeli bahan-bahan yang halal. Sama sekali saya tidak menghadapi sebarang masalah apabila bergelar Muslim," katanya.

Drury mengakui Islam telah membantunya menjadi seorang yang mempunyai pandangan hidup yang jelas. Terutama dalam memahami konsep bahawa dunia ini bukanlah segala-galanya dalam hidup.

"Sedangkan dahulu bapa saya selalu berkata bahwa manusia ini cuma adalah komponen dari sel-sel nukleus! Iaitu manusia (sel) hidup, kemudian mati, lalu dikuburkan, habis setakat itu sahaja.

"Islam mengajarkan kita untuk melakukan sesuatu di dunia ini, yang bukan hanya untuk tujuan material, tetapi kita juga mesti melakukan hal-hal yang lebih baik untuk menghadapi kehidupan selanjutnya di alam selepas mati dalam makna yang spiritual, " ujar Drury.

Jadi, daripada memusatkan keinginan hidup yang hanya untuk mengumpulkan wang dan harta benda, sehingga menjadi taksub menjadi kaya raya, kita sepatutnya juga memfokuskan pada hal-hal yang bersifat spiritual.

"Ini termasuklah melakukan kegiatan bermanfaat sesama muslim di masjid, membantu mereka yang susah atau sekurang-kurangnya banyak meluangkan waktu bersama keluarga. Dan saya selalu menekankan hal ini, bahwa Islam menjadikan hal kebajikan keluarga sebagai hal yang sangat penting," kata Drury yang selalu berusaha meluangkan banyak waktunya bersama keluarga dan anak-anaknya.


Nota Kelana:

Orang kafir sibuk mengkaji sejarah Islam kerana mereka tahu Islam adalah agama yang benar, cuma kajian mereka hanyalah untuk dunia semata-mata dan mungkin disebabkan itulah Allah tidak memberikan NUR kepada mereka.

3 comments:

Hanif said...

Dia adakah insan yang bernasib baik kerana mendapat hidayah..
Dan mendapat sokongan keluarga..
Syukur

faiz said...

nice blog, jom follow blog saya ni pulak jomwayangku.blogspot.com

Kazman & Sue said...

untungnya Allah telah memberi hidayah kepadanyaa...

salam kenal dari kami sekeluarga...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...