Aug 23, 2011

FAM Silap Langkah - myMetro

DILEMA yang dihadapi jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee apabila anak buahnya terpaksa menempuh jadual padat November depan tidak seharusnya berlaku jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyediakan dua pasukan berbeza bagi Sukan Sea Indonesia dan pusingan ketiga kelayakan Sukan Olimpik London 2012.


Pengkritik sukan, Serbegeth Singh berpendapat, tindakan FAM menyerahkan tanggung jawab kepada skuad Olimpik untuk mengharungi kedua-dua kejohanan itu dalam masa terdekat adalah tidak logik.

“FAM kena buat pilihan sama ada untuk mengutamakan Sukan Sea atau pusingan kelayakan Olimpik. Tapi sebenarnya kenapa perlu membuat pilihan? Kenapa tidak FAM menyediakan pasukan berbeza untuk dua kejohanan itu? “Bila kita menyediakan pasukan berlainan ia akan mencetuskan persaingan antara pemain. Bagi saya tidak logik untuk menggunakan pasukan sama untuk dua kejohanan itu, ini hanya akan menjejaskan pembangunan pemain muda,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Nasib skuad Olimpik negara ketika ini masih belum menentu berikutan jadual padat membabitkan kejohanan bola sepak bawah 23 tahun di Sukan Sea Indonesia dan pusingan kelayakan Olimpik London.

Final acara bola sepak Sukan Sea akan berlangsung pada hari penutup, 22 November manakala perlawanan kedua Kumpulan C Malaysia dengan Syria diadakan sehari selepas itu.

Jika Malaysia berjaya mara ke final Sukan Sea untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Laos 2009, sudah pasti perlawanan menentang Syria di Kuala Lumpur terpaksa dilupakan.

Mungkin perlawanan itu boleh ditangguhkan sehari ataupun selepas perlawanan ketiga dengan Bahrain pada 27 November jika permohonan FAM mendapat persetujuan pasukan lawan namun faktor kecergasan pemain juga perlu diambil kira.

Menurut Serbegeth yang turut dikenali dengan panggilan Shebbie, tiga perlawanan penting dalam tempoh seminggu (jika Malaysia mara ke final Sukan Sea) pasti menyukarkan pemain muda negara.

“Seharusnya Sukan Sea biarlah pasukan baru dan kita sediakan pasukan khusus untuk Sukan Sea dan Olimpik. Biarlah Sukan Sea untuk pemain lebih muda seperti bawah 19 tahun kerana kita perlu sedar Sukan Sea kejohanan pembangunan, jangan kita raikan kemenangan di Sukan Sea seperti kita menang Piala Dunia.

“Kalau kita lihat sekarang ada pemain yang beraksi untuk skuad Olimpik dan dalam masa sama turut bermain dengan skuad kebangsaan. Akibat aksi tanpa henti, prestasi mereka mula menurun, jadi kita kena ambil kira perkara sebegini,” katanya.

Malaysia yang layak ke peringkat kumpulan kelayakan Sukan Olimpik London akan memulakan kempen menentang Jepun di Stadium Tosu pada 21 September ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...