Oct 14, 2011

Kontena Jatuh Laut - Kapten Kena Saman..

TAURANGA 12 Okt. - Kapten sebuah kapal yang tersangkut pada terumbu karang di pantai New Zealand minggu lalu dihadapkan di mahkamah hari ini atas dakwaan menyebabkan lebih 70 kontena terjatuh ke dalam laut serta berlaku tumpahan minyak yang mencemarkan pantai negara ini.

Mauro Balomanga, warga Filipina, dihadapkan ke mahkamah di Tauranga atas dakwaan mengendalikan kapal secara berbahaya dan berisiko, sekali gus menyebabkan New Zealand berdepan dengan pencemaran maritim terburuk.

Tertuduh, bagaimanapun diikat jamin dan diperintah untuk hadir di mahkamah pada 19 Oktober ini.

Mahkamah turut mengarahkan media tidak menyiarkan gambar Mauro selepas peguamnya bimbang sekiranya 'orang ramai cuba menangani masalah itu dengan cara sendiri' ekoran kemarahan masyarakat dengan insiden itu.

Menurut laporan media tempatan, Mauro yang menjadi kapten kapal Rena milik Liberia itu sejak Mac lalu berhadapan hukuman denda maksimum NZ$10,000 (RM24,665) atau penjara selama setahun.

Kira-kira 300 tan minyak hitam tumpah di sekitar Bay of Plenty sejak kapal tersebut tersangkut selepas terlanggar terumbu karang Astrolabe terletak 22 kilometer dari persisiran pantai North Island pada Rabu lalu.

Menurut Maritim New Zealand (MNZ), kontena-kontena di atas kapal itu jatuh ke dalam laut.

"Kapal itu membawa 1,368 kontena, manakala 11 daripadanya mengandungi bahan berbahaya dan masih berada di atas kapal itu," katanya dalam satu kenyataan. - AFP

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...