Oct 15, 2011

Gara-gara "I've got to go"..

Seorang wanita Islam warga Amerika Syarikat memfailkan saman terhadap syarikat penerbangan Southwest, selepas dia tidak dibenarkan meneruskan penerbangan oleh krew pesawat itu, yang mendakwa terdengar wanita itu menyebut "It's a go" (masa untuk bertindak) dalam perbualan telefonnya.

Namun, wanita tersebut, Irum Abbassi, yang menaiki penerbangan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa San Diego, mendakwa dia sebenarnya berkata "I've got to go" (saya perlu menamatkan perbualan ini). 


Ibu kepada tiga orang anak itu diperiksa oleh staf Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) dan dibawa semula ke pesawat terbabit setelah TSA berpuas hati dengan keterangannya, namun krew kapal terbang tersebut enggan membenarkan dia menaiki penerbangan itu.

Irum diberi tiket penerbangan lain selepas itu dan dia kemudian bertindak menyaman syarikat penerbangan Southwest ekoran kejadian 'menghina' itu.Dia yang juga merupakan penuntut psikologi di Universiti San Jose State, memfailkan saman tersebut di Mahkamah Persekutuan di San Diego.


Peguamnya, James McElroy berkata, prasangka timbul kerana agama yang dianuti oleh Irum dan dia tidak akan diarahkan keluar dari pesawat itu sekiranya dia berambut perang serta bermata biru.

Katanya, anak guamannya berasa terhina, teramat malu serta keliru dengan insiden tersebut yang berlaku pada Mac lalu.

Irum mendakwa ketika kejadian dia sedang menghubungi wakil syarikat Verizon dan memaklumkan kepada wakil itu dia hendak meletakkan telefon kerana pesawat yang dinaikinya bersiap sedia untuk berlepas.

Selepas diperiksa oleh staf TSA, Irum dibenarkan untuk menaiki penerbangan itu semula dalam tempoh tiga minit.

Namun, juruterbang pesawat itu mendakwa krew penerbangan yang lain tidak selesa dan enggan membenarkan Irum meneruskan penerbangan dengan pesawat tersebut.
Syarikat penerbangan tersebut, bagaimanapun memohon maaf kepada Irum dan memberi baucer serta tiket penerbangan lain ke San Jose. - AGENSI








   


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...