Apr 19, 2011

Impian Man Utd Lebur di tangan Yaya Toure

LONDON: Yaya Toure memusnahkan impian Manchester United untuk meraih tiga piala apabila membantu Manchester City menewaskan pesaing setempat itu 1-0, awal pagi semalam bagi menempah tiket ke final Piala FA bulan depan.

Pemain tengah Ivory Coast itu memastikan City berada di landasan tepat untuk memenangi kejuaraan pertama selepas 35 tahun dengan memanfaatkan kesilapan lawan seposisi dari United, Michael Carrick pada minit ke-52 bagi memastikan hala tuju pertemuan separuh akhir yang mendebarkan itu di Wembley.


Pendahulu liga, United yang layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara, bermain dengan 10 pemain apabila Paul Scholes dibuang padang selepas kekasaran ke atas pemain pertahanan City, Pablo Zabaleta, ketika harapan untuk mengulangi pencapaian menjulang tiga piala seperti mana 1999, berkecai.

Pengurus City, Roberto Mancini tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya selepas wisel penamat dengan menghadiahkan kemenangan itu kepada puluhan ribu penyokongnya yang begitu mengagumkan ketika berada di Wembley buat kali pertama selepas lebih daripada satu dekad. “Saya sangat gembira namun saya lebih gembira untuk penyokong kami kerana mereka berhak menikmati hari seperti ini,” kata Mancini. “Untuk kami ia adalah sangat penting, namun tidak harus lupa untuk beraksi satu lagi perlawanan. Kami hanya baru menang separuh akhir.” Penjaring gol tunggal perlawanan itu, Toure pula pula sangat gembira kerana dapat menewaskan United.

“Mencatatkan kemenangan ke atas pesaing terbesar dalam EPL adalah sangat hebat,” kata Toure. “Apabila anda bermain seperti separuh masa kedua, ia sangat hebat.

“Saya sangat gembira menjaringkan gol untuk peminat - mereka sudah menanti 35 tahun untuk memenangi sesuatu dan kemenangan ini sangat indah untuk Manchester City.

“Kami sedar kami perlu kuat kerana saingan masih belum berakhir.” Pengurus United, Sir Alex Ferguson menyalahkan kecuaian bahagian pertahanan yang menyebabkan kekalahan itu.

“Tempoh 15 minit pertama separuh masa kedua menyebabkan kami tewas,” kata Ferguson.

“Kecuaian. Edwin (van der Sar) membuat sepakan teruk dan Michael Carrick gagal menanganinya dengan baik membolehkan gol itu dihasilkan. Adalah mengecewakan kerana kami sepatutnya berada di depan pada separuh masa pertama kerana kami bermain lebih baik daripada mereka,” katanya kepada MUTV.

City sememangnya layak bergelar pemenang selepas meningkatkan permainan mereka selepas rehat untuk mendominasi pihak lawan.

United sepatutnya mendahului selepas permainan yang luar biasa pada suku pertama perlawanan yang menyaksikan Berbatov bermula selepas ketiadaan Wayne Rooney yang digantung terlepas dua peluang terbaik berselang satu minit.

City memulakan separuh masa kedua seperti sebelum rehat, menekan dan menggugat United setiap masa.

Ia tidak mengambil masa lama untuk City - yang tampak lebih bersemangat dalam melakukan hadangan serta menekan United tanpa henti setiap kali berpeluang - untuk mendahului.

Namun jaringan City itu bergantung penuh kepada permainan teruk Carrick yang terlepas bola kepada Toure di pinggir kotak penalti sebelum bekas pemain Barcelona itu menerpa untuk menjaringkan gol.




Pertemuan sengit itu menyaksikan Balotelli menjadi pemain kedua City dilayangkan kad kuning sebelum kesabaran pengadil perlawanan, Mike Dean akhirnya sampai ke kemuncak pada minit ke-72 apabila Scholes dilayangkan kad merah kerana terjahan keras ke paha Zabaleta.

United amat terdesak untuk bangkit namun kejayaan City tidak dapat dinafikan.

City bersorak gembira selepas wisel penamat, namun Balotelli dan pertahanan United, Rio Ferdinand terpaksa dileraikan pemain dan staf kejurulatihan kerana terbabit di dalam pertengkaran. -AFP

 Source: MyMetro, Man Utd

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...